Saturday, November 7, 2009

Sekapur Sireh Pengetua Sempena Pencalonan Anugerah Sekolah Cemerlang 09


Terlebih dahulu saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Jabatan Pelajaran Kelantan atas pencalonan SMK Ketereh untuk sama-sama bersaing merebut “Anugerah Sekolah cemerlang” tahun 2009 bagi kategori Sekolah Menengah Luar Bandar.


Seluruh warga sekolah seharusnya melihat bahawa pencalonan ini adalah sebagai satu penghargaan buat sekolah dan merupakan satu medium untuk semua warga sekolah bergerak aktif dalam satu kerja sepasukan yang akan bertanggungjawab menaikkan taraf semua aspek pengurusan sekolah.


Justeru, untuk mencapai hasrat tersebut, sekolah seharusnya mempunyai satu pasukan guru yang proaktif, berfikiran positif, mempunyai anjakan paradigma, progresif, berdaya saing dan berinovatif. Hala Tuju Kepimpinan, Pengurusan Organisasi, Program Pendidikan dan Kemenjadian Murid adalah merupakan fokus Sekolah Menengah Kebangsaan Ketereh ke arah mengungguli Anugerah sekolah cemerlang. Setiap elemen ini perlu disuburkan dan dibangunkan agar dapat memberikan impak kepada SMK Ketereh sebagai sebuah sekolah yang dapat mencatatkan kecemerlangan dan kegemilangan selaras dengan visi sekolah, SMK Ketereh Terbilang 2010.


Kesemua elemen yang terdapat dalam profil sekolah telahpun kita zahirkan dalam bentuk dokumentassi dan kerja buat harian. Hasil yang kita capai dalam akademik, kemenjadian murid dan kokurikulum membanggakan pihak sekolah.


Tuntasnya, semua warga sekolah akan terus bekerjasama dalam satu pasukan kerja yang mantap dalam usaha untuk mencapai kecemerlangan sama ada akademik, kokurikulum dan kemenjadian murid yang merupakan paksi kepada kecemerlangan sekolah dan akhirnya dapat melahirkan modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang sebagaimana yang terdapat dalam teras. kedua Pelan Induk Pembangunan Pendidikan


Pengetua SMKK

Hajah Rohani Yusof

No comments:

Post a Comment