Saturday, November 14, 2009

Majlis Solat Hajat dan Izin Ilmu SPM & STPM 2009

Majlis Solat Hajat dan izin ilmu SPM dan STPM 2009 telah berlangsung di SMK Ketereh pada hari Ahad, 15 November 09. Majlis tersebut telah diadakan di Dewan Terbuka SMK. Ketereh yang turut dihadiri oleh para ibu bapa. Puan pengetua, Puan Hajah Rohani Yusuf dalam ucapannya melahirkan rasa terima kasih kepada para ibubapa yang hadir. Walau bagaimanapun, beliau berharap agar tahun-tahun hadapan lebih ramai ibu bapa yang akan hadir demi menunjukkan kasih sayang kepada anak-anak. Beliau juga melahirkan harapan agar calon-calon SPM dan STPM sentiasa menjaga disiplin sepanjang tempuh peperiksaan demi menjaga nama baik sekolah. Terdahulu, Pengerusi PIBG SMK. Ketereh, Tuan Hj Baruddin Ismail, dalam ucapanya telah menyatakan bahawa majlis seumpama ini bukan saja diamalkan di negara kita malah juga negara-negara lain seperti Korea. Katanya, negara Korea akan memberi ruang masa bagi menjayakan majlis seumpama ini. Ketika berlangsungnya majlis tersebut segala jenis kenderaan tidak dibenarkan membunyikan hon, malah kapal terbang juga tidak dibenarkan mendarat. Majlis tersebut diakhiri dengan para pelajar memohon agar ilmu yang dicurahkan selama ini direstui.

Wednesday, November 11, 2009

Terima Kasih di Atas Ucapan Takziah...

Pada 11 Nov 09 bersamaan hari Rabu, ibu Cg Azizi (Penulis Blog) telah kembali ke Rahmatullah pada jam 2.50 pagi kerana sakit jantung di HUSM Kubang kerian.Urusan pengebumian jenazah telah disempurnakan kira-kira jam 11 pagi di Tanah Perkuburan Kg. Dusun Teratak, Melor.

Penulis ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua ahli keluarga dan sahabat handai yang telah sama-sama terlibat dalam mengurukan jenazah. Apa yang tidak lupa penulis ingin mengucapkan jutaan terima kasih di atas ucapan takziah dari rakan-rakan. Ada yang datang sendiri dan ada yang mengirimnya melalui sms. Antara yang sempat datang melawat adalah PK1 Pn. Samsiah Che Kerma, PK HEM Ust Mat Harun Ab. Rahman, PK ting 6 En. Ahmad Roby dan rakan-rakan seperjuangan. Ucapan takziah juga diterima daripada Pengetua Pn. Hajah Rohani Yusof dan Pn. Hajah Zainab (GK Mate & Sains) yang sedang berada di luar Kelantan. Terima Kasih dan semoga roh ibu saya ditempatkan bersama-sama orang yang soleh. Amin...

Sunday, November 8, 2009

Pelajar-pelajar Enam Rendah Menghadapi Peperisaan Akhir Tahun

Bermula pada 3 November 2009 sehingga 12 November 2009 pelajar-pelajar tingkatan Enam Rendah SMKK menghadapi peperiksaan akhir tahun. Peperiksaan pada hari pertama adalah kertas Kesusasteraan Melayu 2 dan akan berakhir dengan kertas Sejarah 2. Walau bagaimanapun peperiksaan kertas Pengajian Am 1 & 2 terpaksa dijalankan pada hari Ahad 15 November menggantikan jadual peperiksaan tersebut yang sepatutnya dijalankan pada hari Ahad 8 November 2009 kerana cuti peristiwa. Cuti tersebut telah diberikan ekoran kejayaan pasukan bola sepak Kelantan menyertai perlawanan akhir Piala Malaysia

Musim Banjir Datang Lagi...



Seperti kebiasaannya bulan November adalah merupakan musim tengkujuh di pantai timur. Selalunya musim ini dikaitkan dengan kejadian banjir. SMK. Ketereh juga tidak terkecuali menghadapi suasana tersebut. Pada 6 November 2009 (Jumaat) sekali lagi SMK. Ketereh di genangi air. Bencana ini turut akan memusnahkan segala peralatan sekolah jika langkah awal tidak diambil. Oleh itu SMK. Ketereh telah mengambil langkah proaktif bagi mengelakkan dari kemusnahan harta benda sekolah.

Kejadian banjir di SMK Ketereh berlaku ekoran hujan lebat yang berterusan hampir lima jam. Sistem perparitan dikatakan menjadi masalah utama. Alhamdulullah, pihak Jabatan Pelajaran Kelantan, PPD Kota Bharu dan dengan kerjasama ADUN Kok Lanas telah berusaha untuk memulihkan keadaan apabila proses membina perparitan yang lebih baik telahpun diluluskan. Kami warga SMKK ingin melahirkan rasa terima kasih yang tidak terhingga kepada pihak Jabatan Pelajaran Kelantan, PPD Kota Bharu dan khusus kepada ADUN Kok Lanas, Datuk Hj. Mohd Alwi Che Ahmad
by
zizie

Saturday, November 7, 2009

'Red Warrior' Tunduk Kepada NS 3-1


Pasukan kesebelasan Kelantan terpaksa tunduk kepada Negeri Sembilan 3-1 dalam Piala Malaysia yang diadakan Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi. Perlawanan tersebut disaksikan kira-kira 60,000 penyokong Kelantan. Mereka rata-rata melahirkan kekecewaan di atas kekalahan tersebut namun berharap pasukan Kelantan akan terus menyertai perlawanan akhir pada tahun hadapan. Namun apapun pasukan Kelantan sebenarnya telah bangkit menjadi salah satu pasukan yang disegani oleh lawan. Diharapkan kekalahan ini tidak akan menurunkan semangat pasukan 'Red Warrior' ini untuk meneruskan kecemarlangan pada musim depan

Sekapur Sireh Pengetua Sempena Pencalonan Anugerah Sekolah Cemerlang 09


Terlebih dahulu saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Jabatan Pelajaran Kelantan atas pencalonan SMK Ketereh untuk sama-sama bersaing merebut “Anugerah Sekolah cemerlang” tahun 2009 bagi kategori Sekolah Menengah Luar Bandar.


Seluruh warga sekolah seharusnya melihat bahawa pencalonan ini adalah sebagai satu penghargaan buat sekolah dan merupakan satu medium untuk semua warga sekolah bergerak aktif dalam satu kerja sepasukan yang akan bertanggungjawab menaikkan taraf semua aspek pengurusan sekolah.


Justeru, untuk mencapai hasrat tersebut, sekolah seharusnya mempunyai satu pasukan guru yang proaktif, berfikiran positif, mempunyai anjakan paradigma, progresif, berdaya saing dan berinovatif. Hala Tuju Kepimpinan, Pengurusan Organisasi, Program Pendidikan dan Kemenjadian Murid adalah merupakan fokus Sekolah Menengah Kebangsaan Ketereh ke arah mengungguli Anugerah sekolah cemerlang. Setiap elemen ini perlu disuburkan dan dibangunkan agar dapat memberikan impak kepada SMK Ketereh sebagai sebuah sekolah yang dapat mencatatkan kecemerlangan dan kegemilangan selaras dengan visi sekolah, SMK Ketereh Terbilang 2010.


Kesemua elemen yang terdapat dalam profil sekolah telahpun kita zahirkan dalam bentuk dokumentassi dan kerja buat harian. Hasil yang kita capai dalam akademik, kemenjadian murid dan kokurikulum membanggakan pihak sekolah.


Tuntasnya, semua warga sekolah akan terus bekerjasama dalam satu pasukan kerja yang mantap dalam usaha untuk mencapai kecemerlangan sama ada akademik, kokurikulum dan kemenjadian murid yang merupakan paksi kepada kecemerlangan sekolah dan akhirnya dapat melahirkan modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang sebagaimana yang terdapat dalam teras. kedua Pelan Induk Pembangunan Pendidikan


Pengetua SMKK

Hajah Rohani Yusof

Thursday, November 5, 2009

Latar Belakang



SMK. Ketereh terletak kira-kira 20km dari pusat bandar Kota Bharu. Nama SMK. Ketereh diambil sempena nama buah gajus atau nama saintifiknya 'anacadium occidantale'. Dalam bahasa daerahnya buah ini dikenali sebagai 'buah ketereh'
Sekolah Menengah Kebangsaan Ketereh mempunyai premis dan suasana pesekitaran yang ceria dan kondusif sebagai tempat menjana pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran agar dapat melahirkan satu suasana pembelajaran yang kondusif dan menyeronokkan dan seterusnya dapat meningkatkan kecemerlangan para pelajar.
Prasarana yang lengkap dan selesa serta selamat merupakan medium dalam usaha membantu pihak sekolah meningkatkan proses dan amalan pendidikan.

Sekolah ini memiliki sumber tenaga akademik dan staf sokongan yang mempunyai semangat bekerja yang tinggi tanpa mengira batas waktu telah memberi ruang kepada sekolah ini terus meningkat maju dari setahun ke setahun.
Tahap disiplin yang baik dalam kalangan pelajar secara keseluruhannya membantu sekolah melaksanakan pelbagai program akademik dan bina insan yang berterusan Pihak sekolah mendapat sokongan yang padu daripada pelbagai pihak sama ada agensi kerajaan, separa kerajaan, pihak swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) telah memantapkan lagi program-program yang dilaksanakan di sekolah ini melalui sumbangan kewangan, sumber, kepakaran mahupun idea.

by

zizie




ANTARA AKTIVITI TAHUN 2009